Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-61 untuk tanahair kita yang tercinta ini!
Beberapa hari lepas aku berkesempatan menonton video ini. Aku akui, hati ini tersentuh dengan mesej yang cuba disampaikan di dalam video ini. Memori semasa zaman persekolahan menerpa di ingatan. Terasa baru sahaja meninggalkan zaman itu, tetapi bila dihitung semula, sudah 21 tahun meninggalkan rakan-rakan baik di sekolah.
Kenangan persekolahan di sekolah menengah paling sukar dilupakan jika dilihat dari aspek kepelbagaian kaum ini. Aku berpeluang berkawan dengan pelbagai kaum sejak aku memasuki tingkatan 2 di SM Buyong Adil, Tapah Perak pada tahun 1994. Aku baru bertukar daripada sebuah sekolah berasrama.
Dengan perasaan yang agak gementar di sekolah baru, aku tidak berani untuk berkawan dengan sesiapa sehinggalah aku diajak untuk duduk bersebelahan dengan seorang pelajar India, yang akhirnya menjadi rakan akrabku di sekolah menengah sehingga kami digelar belangkas oleh cikgu di sekolah. 😂. Namanya Sangeetha. Kemana sahaja pasti berdua. Apa jua persatuan & aktiviti sekolah, pasti kami berdua akan turut serta. Tuisyen bersama, apa jua bersama. Hinggakan kerjaya kami juga sama, menjadi seorang doktor 😂. Kenangan kami manis-manis belaka… ♥

Kelas aku juga terdiri daripada berbilang bangsa, Melayu, Cina, India, Sikh & Orang Asli. Ada juga rakan aku yang berdarah campuran keturunan Kadazan. Menarik bukan? Ukhwah kami sesama rakan, sangat baik. Toleransi kami sangat tinggi. Sehingga hubungan kami yang akrab dicemburui wakil daerah lain semasa kami menyertai Kelab Setia peringkat negeri Perak mewakili daerah kami pada masa itu. Semangat setiakawan yang tinggi.


Kalau nak aku ceritakan segala kenangan manis, memang tidakkan habis. Walaupun kami tidak dapat bersua selepas tamat persekolahan, kami masih tidak putus hubungan. Kami masih mendapat khabar rakan-rakan melalui media sosial & kumpulan WhatsApp. Semuanya baik-baik sahaja. Jika diberi peluang untuk patah balik ke zaman silam, akan kupilih zaman remajaku bersama rakan-rakan.

Dengan tibanya Hari Kebangsaan ini, aku mendoakan agar hubungan kita semua rakyat Malaysia kan tetap utuh & harmonis tanpa mengira agama & bangsa. Di mana bumi dipijak, di situ langit kita junjung!